Friday, August 7, 2009

Khutbah Jumaat 31 Julai 2009: Dibaca Oleh Bekas Imam 3 Masjid Al-Azhar KUIS

4 comments

الحمد الله رب العالمين، والعاقبة للمتقين ولا عدوان الا على الظالمين ، أشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له ،له الملك وله الحمد وهو على كل شىْ قدير. وأشهد أن محمدا رسول الله، الرحمة المهداة،والنعمة المسداة، والسراخ المنير ، اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد، وعلى آله وأصحابهوالتابعين إلى يوم الدين، أما بعد .فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ



Muslimin sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian!

Mimbar Jumaat hari ini menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama bersyukur dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang dilarang, mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman, bertaqwa serta selamat di dunia dan di akhirat.

Marilah sama-sama kita mendengar satu hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dua kaki seseorang hamba itu akan tetap (berada di padang masyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan; Tentang umurnya, di manakah dihabiskan, tentang zaman mudanya, bagaimana digunakan, tentang hartanya, bagaimanakah diperolehi dan bagaimana digunakan dan tentang amalannya, apakah diamalkan dengannya.

Di antara keempat-empat soalan tersebut, ada satu soalan yang Allah SWT akan tujukan kepada setiap manusia semasa berada di padang masyar berkaitan dengan usia muda. Mereka akan disoal bagaimana mereka menghabiskan masa muda mereka, adakah untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT atau disia-siakan zaman muda mereka dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Di dalam al-Quranul Karim, Allah SWT mengambarkan kisah satu golongan pemuda yang berani mempertahankan aqidah dan agama mereka walaupun di hadapan raja yang zalim yang memaksa mereka kembali kepada kekafiran.

Firman Allah swt :-

Maksudnya:"Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk. Dan kami teguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja yang zalim) lalu mereka berkata; 'Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi: Kami sesekali tidak akan menyeru Tuhan yang lain daripada-Nya, sesungguhnya kalau kami (mengucapkannya) maka sebenarnya kami telah mengucapkan perkataan yang amat jauh daripada kebenaran.

Sejak zaman berzaman, kegemilangan sebuah tamadun adalah bergantung kepada kekuatan pemuda yang hidup pada zaman mereka. Pemuda digambarkan sebagai satu golongan yang bersemangat untuk merealisasikan apa yang terbuku dalam hati mereka dan merekalah golongan yang beridealisme tinggi. Adalah silap apabila wujud suara yang menghadang idealisme kerana kadang kala idealisme harus dikembangkan untuk mewujudkan satu impian dan plan bertindak yang lebih realistik dan sistematik.Perjuangan Rasulullah tampak idealis didokong oleh golongan pemuda di saat golongan tua menolak baginda SAW.

Sidang Jumaat sekalian,

Pemuda berada dicelah-celah kegilaan dan apabila mereka inginkan sesuatu, mereka akan lakukan dengan semangat ‘kegilaan’ yang ada pada diri mereka. Semangat kegilaan bolehlah diistilahkan sebagai sebagai semangat ekstasi.

Ekstasi ialah satu saat kemuncak dalam hidup seseorang yang mana ketika itu ia akan berasa satu kekuatan yang entah datang dari mana muncul dalam diri mereka dan mendorong mereka untuk bertindak diluar kemampuan mereka.

Ini digambarkan oleh Zaid bin Harithah yang hanya mengambil masa selama tujuh hari untuk mempelajari dan menguasai bahasa Yahudi. Imam al-Syafie sendiri mempamerkan ekstasi beliau apabila mula menjadi guru kecil sewaktu berumur 10 tahun dan dilantik sebagai mufti muda ketika berusia 15 tahun.

Sidang Jumaat sekalian,

Ekstasi melahirkan satu perubahan atau boleh kita sebut sebagai reformasi. Fenomena Perubahan merupakan satu perkara lumrah alam dan setiap zaman memerlukan perubahan. Hal ini digambarkan oleh seorang ulama’ yang memelihara anjing dan beliau telah dikritik oleh para mazhab anutan beliau. Beliau lantas menjawab: ‘ Sekiranya guru kita berada dalam lingkungan kita pada masa sekarang, nescaya bukan sekadar anjing, bahkan singa pun kita boleh pelihara.
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Setiap manusia, bahkan Negara dan bangsa memerlukan kepada perubahan. Bangsa yang tidak berani berubah adalah bangsa yang lemah dan dayus dalam berijtihad. Negara yang tidak berubah adalah Negara yang kekal mundur dan tidak akan maju selamanya. Pemikiran lama akan tenggelam dengan pemikiran baru. Albert Einstein berkata: "Masalah zaman kita tidak mampu untuk diselasaikan oleh pemikiran zaman kita".
Perubahan menuntut kecekalan dan keberanian, bukannya jiwa-jiwa yang dayus dan lemah. Orang yang penakut akan kekal berada di tampuk yang lama kerana mereka sudah hidup dalam zaman acuh tak acuh, namun orang yang berani akan melakukan perubahan dari masa ke semasa tanpa mengira cercaan dan ugutan terhadap mereka.

Sidang Jumaat sekalian,

Hanya pemuda dan kepemudaan sahaja yang mampu mendokong perubahan. Tatkala para malaikat tidak sabar untuk menghumbankan bukit bukau keatas penghuni Taif yang mencerca Rasulullah SAW, lantas baginda menghalang niat para malaikat. Pandangan baginda ternyata jauh dan analitikal: "Boleh jadi lahir dari sulbi mereka, zuriat yang akan mengimani risalahku ini ";
Generasi mahasiswa merupakan generasi muda yang terkehadapan dan patut diutamakan dalam membentuk sebuah perubahan yang baru, dan ia perlu dimulakan dan dibentuk mulai sekarang.

Mahasiswa tidak seharusnya melihat sesuatu dengan pandangan singkat dan dekat, tetapi mahasiswa perlu berpandangan jauh dan meluas, seolah-olah lautan yang tiada tepian, dengan ini sahaja barulah kita mampu membuka horizon pemikiran yang lebih luas dalam merencana masa depan.

Kita boleh mengambil contoh riak-riak perubahan yang berlaku di Turkey. Sepanjang mereka berpayung kepada system sekularisme, ekonomi mereka tidak berkembang dan hidup dalam suasana kucar kacir. Nama mereka tidak disebut sebagai sebuah Negara maju selepas kejatuhan Turki Uthmaniyyah. Tetapi selepas wujud generasi baru yang membawa pemikiran dan budaya hidup yang menongkah arus, maka kita dapati gelombang perubahan berlaku dengan pesat. Malah Turki merupakan Negara ke 6 termaju dalam Eropah dan Negara ke 16 didunia yang mempunyai kuasa ekonomi terbesar. Apa yang paling menarik juga turkey merupakan Negara ke 13 yang paling menarik dan berdaya saing.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Umat Islam harus memiliki jiwa kepemudaan yang tinggi. Jiwa kepemudaan bukan hak milik pemuda semata-mata malah semua orang berhak untuk memiliki jiwa dan semangat kepemudaan ini. Jiwa yang senantiasa meronta-ronta untuk membuah pembaharuan dari semasa ke semasa supaya ummah tidak ketinggalan dan hanya mengikut dari belakang Jiwa kepemudaan ini juga perlu supaya kita tidak hanya memasang angan-angan seperti Mat Jenin, atau berperilaku seperti Si Luncai dengan labu-labunya.

Cukuplah, kita sudah tidak tahan dan sanggup didendangkan dengan cerita-cerita yang melembabkan pemikiran kita seperti Pak Pandir, Si Luncai, Lebai Malang sebagaimana di negara Arab yang mempopularkan kisah Juha, Abu Nawas dan 1001 malam, sedangkan barat sudah meluaskan empayar penguasaan mereka hingga ke angkasa lepas.

Orang kita melihat udara lalu terciptalah layang-layang, sedang barat mencipta kapal terbang. Orang kita melihat sungai untuk berenang sedang barat mencipta kapal. Orang kita melihat melihat bulan untuk menentukan tibanya Ramadhan dan Syawal tetapi barat melihat bulan lalu dijajahnya.Ubahlah dan jadilah pemuda yang mencipta sejarah bukan berbicara dan berbangga dengan sejarah.

Jadilah sebagaimana pemuda yang pernah diimpi oleh As syahid Hassan Al-Banna yang mana ruh mereka sarat dengan iman dan taqwa, dadanya padat dengan ilmu dan thaqafah,jasmaninya dilatih dengan latihan, maka ketika tunggulah saat kemenangan dan kehebatan ummat Islam.

Kata Tokoh Pejuangan Kemerdekaan Negara Allahyarham Dr Burhanudin Al-Helmi:-

"Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka, bersatu padulah seluruh baka, membela hak keadilan pusaka"

Sidang Jumaat dikasihi sekalian,

Esok 1 Ogos, Bandaraya kuala lumpur sekali lagi akan dibanjiri ratusan ribu manusia.Kita pun sudah maklum mengenai 2 perhimpunan raksasa anjuran 2 kumpulan yang bermatlamat berbeza, tetapi atas satu perkara. Satu akta yang sudah wujud 49 tahun lamanya. AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI @ ISA singkatannya. Maka Sempena perhimpunan aman esok, eloklah kita terutama golongan muda dapat turut sama menyertai perhimpuanan tersebut demi meraikan kebebasan bersuara dan berhimpun sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara.

Tetapi awas! Untuk menyertai perhimpunan tersebut, haruslah kita pandai memilih kumpulan mana yang harus kita bersama. Sama ada kita akan bersama dengan kumpulan yang ingin agar akta ini terus dikekalkan dengan alasan ia terbukti berkesan mengawal keselamatan negara atau kita ingin bersama kumpulan yang ingin agar akta ini dimansuhkankan atas sebab ia sudah mengatasi norma-norma kemanusiaan, akta tahan tanpa bicara,ditahan tanpa diberitahu apa salahnya,dan dibiarkan meringkuk dalam tahanan bertahun-tahun lamanya. menafikan hak seseorang yang merdeka untuk mendapat pembelaan,akta yang memisahkan kasih sayang suami kepada isteri, memisahkan kasih sayang seorang ayah kepada anak. akta yang diperguna untuk pihak-pihak tertentu atas kepentingan tertentu, demi menjaga dan mengekalkan pemerintah bernafsu.

Kalau dahulu sewaktu ingin mewujudkannya, pemerintah ketika itu pernah berjanji akta ini hanya untuk komunis sahaja. Tetapi kenapa sampai negara sudah merdeka yang hampir 52 tahun akta tersebut masih digunakan?pasti ada sebab2 yang meragukan...

Ayuh kita yang punya kewarasan fikiran,bersamalah dengan kebenaran. Kepada mereka yang masih tegar masih ingin bersama dengan kebatilan takutlah pada amaran Tuhan ini melalui ayat 58 surah Al-Ahzab:-



وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينً

ا
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (menyeksa) mukiminin atau mukminat dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan perbuatan atau kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu menanggung pembohongan dan dosa besar yang nyata,”


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

4 comments:

  1. bekas? nape bekas? dengar ustaz letak jawatan? macam salah je letak jawatan

    ReplyDelete
  2. salam ustaz izzat mggu ni baca khutbah kat mana lak? nak ikut demo

    ReplyDelete
  3. rindu bacaan imam izzat ketika mengimamkan solat..

    ReplyDelete
  4. salam ustaz izzat kat mana skarang? lama tak dengar berita. dengar kelas pun tak masuk. merajuk ke?

    ReplyDelete

 

Copyright 2008 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com